Blogger Templates

Saturday 28 January 2012

~ OMBAK RINDU


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Fauziah Ashari adalah salah seorang novelis yang saya minati. Banyak karya beliau dimiliki saya yang pertamanya 'Pergilah Sepi' dan termasuklah juga novel 'Cinta...Tiada Akhirnya' serta 'Rindu Cintaku' cuma novel 'Ombak Rindu' yang telah diadaptasikan menjadi filem tiada dalam koleksi kerana saya meminjamnya di perpustakaan. 


antara novel yang  saya minati...

Novel bersiri Ombak Rindu...


Filem 'Ombak Rindu' juga telah saya tonton melalui You Tube. Terima kasih kepada rakan FB yang mewar-warkan di FB. Namun cuma sehari sahaja berada di You Tube sebelum dibuang/blok oleh pihak yang berkenaan kerana filem tersebut ditayangkan di Astro First.

Setelah menonton filem tersebut, ianya menarik pada pendapat saya mungkin kerana jalan ceritanya serta para pelakonnya yang dapat menghayati dengan baik namun saya lebih tersentuh ketika membaca novel tersebut berbanding menontonnya. Lagu dalam filem tersebut juga menarik hati saya cuma ada baris liriknya yang tidak sesuai pada pandangan saya iaitu '...Tuhan aku tahu banyak dosaku, hanya ingat Kamu kala duka ku'. Hakikatnya, kita wajib mengingati Allah selalu walau apa jua keadaan samada suka atau duka. 

Wah, sudah seperti pengkritik filem pula. Sebenarnya post kali ini saya ingin berkongsi lagu 'Ombak Rindu' versi taubat yang memikat hati saya. Saya bersetuju dengan abufirzan yang mengupload lagu ini yang katanya "Kalaulah jalan cerita filem sebenar tu seperti dalam lirik video ni, tanpa adegan yang keterlaluan... Mesti banyak pahala sesiapa yg menontonnya :)" Ini kerana saya juga turut berasa malu untuk menonton filem ini bersama anak-anak kerana di awalnya banyak babak-babak di ranjang.

Akhirnya, marilah kita hayati lirik lagu ini, semoga kita dapat muhasabah diri...


Saturday 14 January 2012

~ ADAB-ADAB KETIKA BELAJAR



سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, sudah dua minggu kita berada di tahun 2012. Syukur ke hadrat ilahi atas nikmat usia yang dikurniakan-Nya dapatlah kita melalui kehidupan di bumi-Nya ini. Hari ini juga ialah hari lahir bonda yang ke-60. Semoga Allah limpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya buat bonda tercinta dalam menjalani kehidupan ini dan semoga anak-anakmu ini sentiasa menyejukkan dan menyenangkan hatimu. Aamiin Allahumma Aamiin.



Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.


Pantun di atas membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia begitu sahaja.

Manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim." (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)


Untuk mendapatkan ilmu yang berkat, perlulah mengetahui dan mengikut Adab-adab Ketika Belajar iaitu:
a) Membaca Doa Penerang Hati
b) Duduk dengan sopan
c) Mendengar penerangan guru dengan teliti
d) Berlumba-lumba untuk belajar
e) Sabar ketika belajar
f) Sentiasa mengulangkaji pelajaran
g) Menghormati guru anda
h) Mendisiplinkan diri


Kebaikan Menuruti Adab-adab Ketika Belajar:
a) Mendapat keberkatan daripada Allah SWT
b) Anda akan disenangi guru dan rakan
c) Mudah memahami dan menerima ilmu yang diajar


Akibat Mengabaikan Adap Ketika Belajar:
a) Tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT
b) Dibenci oleh guru dan rakan anda
c) Sukar memahami dan menerima ilmu yang diajar.


Adab-adab yang Tidak Wajar Dilakukan Terhadap Guru:
a) Suka menyampuk percakapan guru
b) Meninggikan suara apabila bercakap dengan guru
c) Tidak memandang muka guru apabila bercakap
d) Tidak meminta izin apabila hendak keluar ke tandas


Dengan ini, kita hendaklah mengamalkan budaya menuntut ilmu dengan mengikuti segala adab-adab yang telah digariskan supaya ianya dapat menyemai cintakan ilmu di dalam diri kita. Dengan mengamalkan adab-adab tersebut, insyaAllah kita akan menjadi pelajar cemerlang yang disayangi guru dan rakan serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. 

Selamat Maju Jaya!