Blogger Templates

Thursday 29 March 2012

~ TEBARKAN SAYANG


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Lewat pagi ini masih menyiapkan kerja-kerja rutin yang terasa agak lembab daripada kebiasaan tahun-tahun yang lalu kerana mungkin disebabkan perubahan kurikulum dalam pendidikan yang memerlukan penelitian dan rujukan untuk menyiapkan satu-satu 'lesson plan'. Ditambah dengan kerja-kerja memasukkan data yang masih tidak beres menyebabkan terpaksa bersengkang mata di tengah malam. 


Namun status yang ditulis oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood di laman muka buku mencetuskan idea untuk meng'update' blog ini...(^___^) Biar lewat malam tiba-tiba mood untuk menulis datang...

"Sahabatku sekelian:
Kasih sayang sesama manusia, bukanlah seperti perniagaan...
di mana keuntungannya dikira dan dibilang dalam bentuk angka.

Kasih sayang juga bukanlah barang dagangan tetapi ia adalah pemberian ikhlas untuk mendapat sesuatu yang lebih berharga daripada Allah SWT.

Oleh itu, berilah kasih sayang tanpa mengharapkan balasan kerana sesungguhnya:
Kunci kebahagiaan dalam kehidupan ialah mencurahkan sepenuh kasih sayang tanpa syarat dan tanpa balasan.

Anda Buat, Anda Dapat.
Hati Ikhlas, Pasti Dibalas.
Maniskan Iman, Maniskan Senyuman." 
~ Ustazah Nor Bahyah Mahamood.


Moral: Curahkan dan berikan kasih sayang sepenuhnya kepada orang di sekelilingmu tanpa syarat dan tanpa balasan...Sebagai balasan, pasti Allah SWT menganugerahkan kebahagian di hati mu...
InsyaAllah.


Wednesday 28 March 2012

~ CINTA HIGH-CLASS


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Cinta sesama manusia adalah suatu perasaan yang sangat indah anugerah daripada Allah SWT. Menurut Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin kategori cinta ada tiga; cinta biasa, cinta luar biasa dan cinta high class




Apakah maksud ketiga-tiga jenis cinta ini? Cinta biasa adalah perasaan yang sedia ada dan fitrah dalam hati setiap insan. Wanita dan lelaki saling tertarik juga difitrahkan dengan perasaan saling mencintai. Perkahwinan adalah solusi terbaik agar fitrah ini dapat disalurkan menjadi barakah. 

Namun cinta luar biasa tidak dinilai pada sehebat mana cara pertemuan pasangan tersebut, atau sejauh mana perhubungan cinta mereka diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Cinta luar biasa adalah cinta yang membawa binasa. Tanpa asas agama, maruah diri sanggup dikorbankan. 

Cinta high class pula wanita dan lelaki yang bercinta selepas nikah dan saling melengkapkan keperluan diri, pengetahuan dan agama pasangannya. Jika belum menikah, cinta menjadi high class apabila teruna dan dara saling tinggi mujahadah. Fahamkan si dia dengan cara yang benar serta kurangkan perjumpaan dan komunikasi. Ia hanya dibolehkan atas dasar urusan dan keperluan sahaja dengan menjaga syarat dan batasan. 

Cinta high class bukan eksklusif milik sesiapa. Cinta high class berhak dimiliki oleh kita semua. Jangan tunggu hingga hari esok. Hari ini juga, cintalah secara high class. Apakah kriteria cinta high class?

1. Cinta yang mendaulatkan Allah sebagai yang pertama.
2. Cinta kerana Allah.
3. Cinta yang bermujahadah melawan nafsu.
4. Cinta tanpa seteru (menjaga hubungan sesama manusia - hablumminannas)

Berdoalah agar memiliki cinta yang high class.
"Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik)." (HR al-Tarmizi).

Lelaki dan wanita saling memerlukan antara satu sama lain. Bukti saling memerlukan ini akan menjadi luar biasa dan high class jika diluapkan kepada insan istimewa bernama suami atau isteri, bukan untuk teman wanita atau teman lelaki. Mengapa ia dipandang high class? Itu tanda mematuhi suruhan Allah, tanda jauhi fitnah dan tanda sebuah mujahadah.

~ Untuk bacaan penuh dapatkan Solusi isu 42: article by Fatimah Syarha Mohd Nordin (^_^)

(Sungguh benar... sangat membahagiakan apabila memiliki cinta yang bertaraf high class...Alhamdulillah)

Sunday 25 March 2012

~ REWARD YOUR SELF


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Sebenarnya saya tidak berniat untuk meng'update' entri pada malam ini. Namun setelah membaca sebuah cerpen di laman penulisan2u karya Rehan Makhtar yang berjudul 'Ku Ingin Milikimu' telah mengubah fikiran saya. Walaupun cerpen tersebut biasa sahaja jalan ceritanya namun telah menyentuh hati saya. Seperti selalu airmata pasti mengalir kerana bait-bait perkataan yang diungkapkan dalam cerpen ini begitu menyentuh rasa. Terasa diri ini bersalah kepada-Nya kerana hanya sebuah cerita khayalan daripada penulis boleh menyebabkan airmata ini mengalir. Sedangkan airmata ini selayaknya mengalir bagi mengenang dosa-dosa yang dilakukan setiap hari sepanjang kehidupan ini. 



Inilah salah satu cara untuk saya mengaplikasikan apa yang saya pelajari dalam kursus OUMH1103 Learning Skills For Open Distance Learners. Dalam modul ini mengatakan bahawa kita perlu me'reward' diri sendiri dan banyak contoh yang diberi. Salah satu caranya adalah melalui pembacaan sama ada buku, novel, majalah, cerpen dan bahan bacaan yang lain.  Namun  sebagai seorang muslim tentu saya sedia maklum bahawa ayat-ayat cinta Allah sebaik-baik kalam yang perlu dibaca setiap hari. Saya bermohon agar Allah SWT sentiasa tetapkan hati ini untuk terus istiqamah dalam mengerjakannya setiap hari terutamanya apabila selesai solat. 

Saya pernah terlepas pandang perkara ini kerana dek kesibukan bekerja, tiada penghargaan yang diberi untuk diri sendiri. Alhamdulillah, setelah mengamalkan apa yang dipelajari dapat membantu saya mendidik hati untuk sentiasa redha dan sentiasa bersyukur dengan setiap kejadian yang berlaku. Semoga Allah sentiasa membesarkan hati ini agar dapat saya mengendalikan diri dan hati dalam mengharungi kehidupan di dunia yang sementara ini. 

Seperti selalu hasil karya Rehan Makthar pasti tidak menghampakan dan jalan ceritanya pastilah bercorak sedih. Saya terkesan dengan watak Anahara Rahman atau Ann Rahana dalam cerpen ini dan ini mengingatkan saya pada watak Raihana dalam novel 'Gemersik Kalbu' karya Anis Ayuni. Drama Gemersik Kalbu juga diadaptasikan dari novel ini dan akan ditayangkan di Slot Akasia TV3. Cerita-cerita yang diadaptasikan daripada novel ini jarang sekali saya menontonnya kecuali Filem 'Ayat-ayat Cinta' dan ' Ombak Rindu'. Namun saya lebih suka menghayati melalui pembacaan berbanding menonton kerana 'feel' nya lebih terasa.  



Ramai yang mengatakan bahawa cerita-cerita sebegini adalah cerita cinta yang menjadikan pembaca bersikap 'jiwang'. Namun pada saya, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada cerita-cerita ini terutamanya sebagai motivasi dalaman yang perlu ada pada seseorang yang ingin berjaya dan berlapang dada dengan setiap perkara yang diuji. Semuanya terpulang kepada pemahaman masing-masing. Kadang kala cerita yang dipaparkan menyentuh kisah ketuhanan yang sangat tinggi yang pasti dapat meningkatkan lagi keimanan kita sebagai hamba-Nya. 

Selain itu, saya juga sedang menghabiskan bacaan 'Tuhan...Terimalah Aku' oleh Dato' Hj. Md Daud Che' Ngah. Beliau adalah mantan Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji. Antara bait-bait yang terkandung dalam buku ini yang sangat menarik hati saya..."Biar jahil ilmu di dada biar banyak khilaf digalas biar uzur tubuh menahan namun, salam-Mu tetap kusambut rumah-Mu tetap kan kujejak kerna cinta dan rindu ini hanya untuk-Mu Ya ALLAH..." Aamiin Ya Rabb.




Di samping itu juga, saya adalah peminat buku-buku Dr. HM Tuah Tuah Iskandar al-Haj. Banyak buku-buku motivasi beliau dalam koleksi saya. Dan setelah agak lama mengikuti buku-buku beliau barulah saya tahu bahawa HM itu adalah singkatan nama ibu beliau Hajjah Mariam. Begitu besar penghargaan beliau pada bonda tercinta sehingga mengabdikan nama bonda tercinta dalam setiap hasil karyanya. Yang terbaru juga masih dalam pembacaan saya ialah buku 'Jaga Jangan Kantoi'. Penulisan beliau yang sangat santai berserta motivasi daripada pengalaman beliau sendiri menjadikan setiap cerita dalam karya beliau tidak jemu untuk dibaca. 


Akhir kata, selamat bersantai dengan bahan bacaan sama ada bahan ilmiah atau sebaliknya. Tepuk dada tanya hati....^_^

Saturday 24 March 2012

~ KAMPUNG DEW FIRE FLIES


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Malam tadi (24 Mac 2012) buat kali pertama saya dan keluarga ke Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew. Cuma anakanda Muhammad Athif Irfan tidak hadir kerana berada di asrama dan diganti dengan seorang anak saudara iaitu Nur Aiman. Aktiviti ini telah dirancang pada tahun lalu oleh Kelab Guru dan Kakitangan SKAP namun pada tahun ini kami dapat melaksanakannya.


Ramai juga anggota keluarga SKAP yang menghadiri aktiviti ini. Bayaran untuk perjalanan menaiki bot adalah RM30 seorang. Oleh sebab, NYDP SKAP iaitu En. Mohd Noor b Salleh yang menjadi Pengerusi bagi Kelib-kelip Cahaya Alam Perak (KECAP) maka kami cuma diminta membuat separuh bayaran sahaja. Alhamdulillah, ribuan terima kasih buat En. Mohd Nor dan kakitangan KECAP.





Perjalanan menaiki bot tersebut mengambil masa lebih kurang satu jam pergi dan balik. Sepanjang perjalanan kiri dan kanan kelihatan begitu banyak kelip-kelip di pokok berembang. Subhanallah...sungguh indah ciptaan Allah SWT. Pemandangan tersebut serupa pokok krismas pula rasanya. Pemandangan bertambah cantik kerana biasan cahaya daripada kelip-kelip itu terkena permukaan air. Begitu meriah suasana di sepanjang sungai tersebut. 


Namun keindahan ciptaan Allah ini hanya boleh dilihat dengan pancaindera pemberian-Nya sahaja. Sebelum bertolak kami telah dimaklumkan oleh En. Mohd Nor bahawa amat sukar untuk mengambil gambar kelip-kelip ini. Kebetulan, malam sebelumnya pihak TV3 telah datang untuk membuat rakaman dan hanya beberapa keping sahaja gambar yang menjadi. Itupun dengan menggunakan kamera yang canggih. 

Beberapa kali saya cuba mengambil gambar kelip-kelip ini namun hampa. Yang kelihatan hanya warna hitam sahaja. Satu gambar pun tidak menjadi dan telah dipadam oleh anak. Akhirnya, saya hanya mengambil gambar anak-anak dan rakan-rakan di atas bot. 


Dalam perjalanan balik pula saya boleh terlelap beberapa minit kerana suasana yang sungguh nyaman dengan udara malam yang tenang. Tambahan pula, sudah hampir seminggu selesema saya belum sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun memang sungguh menarik aktiviti pada malam itu dan pengalaman ini hanya tersimpan di kotak memori selagi diizinkan oleh Allah SWT. Masih tergambar bayangan kelib-kelib yang menyerupai pokok krismas di malam hari. Subhanallah...teramat indah. Tidak tergambar dengan kata-kata.



Lantas, saya teringat kelip-kelip di kampung sewaktu kecil dahulu. Rupanya saya dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa kelip-kelip di kampung itu lebih besar berbanding di Hutan Paya Bakau ini dan ianya juga  dikenali dengan nama kunang-kunang. Kelip-kelip Hutan Paya bakau ini pula hanya sebesar sebutir beras sahaja. Namun cahaya yang dikeluarkan daripada badannya sangat terang.  

Begitulah hebatnya ciptaan Allah SWT. 

Tuesday 20 March 2012

~ ALHAMDULILLAH...THANK YOU ALLAH


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah for the blessings of faith and Islam...
Alhamdulillah for everything...
Alhamdulillah...




I asked for strength…
and Allah gave me difficulties to make me strong

I asked for wisdom…
and Allah gave me problem to solve

I asked for courage…
and Allah gave me obstacle to overcome

I asked for love…
and Allah gave me trouble people to help

I asked for favours…
and Allah gave me oppurtunities


“Maybe I received nothing I wanted…but I received anything I need”.

 ALHAMDULILLAH...THANK YOU ALLAH...

Sunday 18 March 2012

~ BERIS LAKE VINEYARD


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Hasrat hati ingin ke Ladang Anggur Tasik Beris akhirnya tercapai apabila balik daripada Kedah pada hari Sabtu yang lalu terus ke Sik. Dari lebuhraya, keluar di Gurun dan terus ke Jeniang lebih kurang 16km daripada pekan Sik. Terletak berhampiran dengan Tasik Beris menjadikan pemandangan sangat indah. 






Ladang Anggur Tasik Beris ini diusahakan oleh Excel Agrotech Sdn Bhd pada tahun 2007. Bayaran masuk bagi dewasa RM4.00 dan kanak-kanak RM2.00. Pada waktu ini hanya anggur berwarna hijau sahaja yang berbuah. Buah anggur ini dilarang daripada dipetik tetapi boleh dibeli pada harga RM15 sekilogram bagi yang berwarna merah. 










Beris Grape Cafe adalah bangunan yang disediakan untuk pelancong menikmati pemandangan suasana ladang  dan tasik kerana hampir 90% berdinding kaca. Terdapat juga galeri jualan yang menjual anggur segar, jus, kordial dan produck berasaskan anggur seperti sabun, losyen badan dan mandian. Galeri jualan dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.  







Sesiapa yang berminat untuk membeli produk anggur atau mengunjungi Ladang Anggur Tasik Beris ini boleh menghubungi talian 04-4620466 atau faks 04-4620611.

Wednesday 14 March 2012

~ BLACK FOREST CAKE


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Baru-baru ini, saya menerima MMS daripada adinda Sariyati. Tiada lain yang dihantarnya melainkan untuk berkongsi kek-kek yang dibuatnya. Hari itu dia menghantar gambar Black Forest Cake. Tiba-tiba kecur air liur saya melihatnya dan saya pun berazam untuk mencubanya hanya berbekalkan resepi di dalam kepala.


inilah hasil pertama...nyummy!

Resepi saya olah sendiri...suka2 hati aje!

1 biji kek span coklat 7 x 7 in
400g whipping cream
Blueberry filling secukupnya
8 biji ceri
Coklat masakan diparut

Coklat Pes:
120g coklat masakan
80g susu cair
(cairkan)
Masukkan ke dalam piping beg untuk hiasan tepi kek


utk makan-makan dan separuh saya bawa ke sekolah 

Cara-cara:
1. Potong kek kepada 3 lapisan. Ini bergantung kepada berapa lapis yang kita nak buat layer.
2. Ketepikan dan sekarang kita buat filling dan topping.
3. Pukul whipping hingga kaku.
4. Ambil selapis kek dan sapu blueberry filling.
5. Kemudian sapukan whipping cream tadi dan ratakan.
6. Letakkan lapisan yang kedua dan lakukan kaedah yang sama hingga habis semua lapisan.
7. Sapukan seluruh permukaan kek dengan whipping cream - ratakan.
8. Paipkan coklat pes di sekeliling kek dan parut coklat masakan serta hiaskan dengan ceri.


nyum...nyum...nyummy

Tiba-tiba saya teringat seorang sahabat FB yang baru menjalani pembedahan. Saya berhajat untuk menziarahi beliau di Bagan Serai dengan membawa Kek Black Forest ini sebagai buah tangan. Walau bagaimanapun beliau memaklumkan tiada di rumah dan saya hanya memberi kek ini kepada anak lelakinya yang comel sekali. 

utk kak Azmah n family...semoga cepat2 sembuh :))

Sungguh ringkas dan mudah sahaja resepi yang saya olah ini kerana resepi yang lain berada di internet (draf nota facebook menjadi buku resepi saya) dan kebetulan wayar kabel telefon rumah saya telah dicuri. Jadi, saya tidak dapat merujuk resepi yang sebenarnya. Namun hasilnya tetap memuaskan hati, Alhamdulillah.

Selamat mencuba...^_^

Sunday 11 March 2012

~ BILA CINTA BERTASBIH


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saat ini hangat dendangan puisi Oki Setiana Dewi  pelakon filem "Ketika Cinta Bertasbih"  yang bertajuk 'Negeri Kelantan Seindah Namamu' di Youtube dan Facebook. Lantas menjadikan saya teringat bahawasanya saya juga memiliki kedua-dua novel karya Habiburrahman El Shirazy ini. Saya tidak pasti pada tahun berapa saya membelinya dan jalan ceritanya juga sudah saya lupa cuma masih teringat watak Azzam yang menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Di samping belajar, beliau menyara kehidupannya dengan membuat tempe dan bakso. Namun filem "Ketika Cinta Bertasbih" ini tidak pernah saya tonton. 


 salah satu novel pembangun jiwa yang penuh akan makna


Kelebihan novel ini adalah kerana dapat mengungkapkan kecintaan kepada Allah SWT melebihi kecintaan terhadap manusia antara lelaki dan wanita. Saya juga meminati lagu dalam filem ini serta liriknya juga bagus untuk dihayati.

Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabda-Mu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus hati ini
Ku sandarkan hidup dan matiku pada-Mu

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku pada-Mu Maha Cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik rasa
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud syukur pada-Mu atas segala cinta

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku pada-Mu Maha Cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik rasa
Tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud syukur pada-Mu atas segala cinta
Cinta...

Ketika cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud syukur pada-Mu atas segala

Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud syukur pada-Mu atas segala cinta
Ketika cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu.

~ Melly Goeslow


Namun jiwa saya lebih meminati muzik instumental. Hayati Puisi ini, sungguh indah...
❤ ℒℴνℯ ❤  dedicated to my love ❤ ℒℴνℯ ❤  



Bila Cinta Bertasbih
Bergema dengan alunan zikrullah
Bersatu dalam restu-Mu Ya Allah
Tersimpul padu cinta hakiki

Indahnya ketika cinta bertasbih
Bersama di bawah restu-Mu
Ikatan sah utuh dipadu rapi
Kejauhan meruntun keindahan disulam zikrullah

Istilah sepi begitu indah
Indahnya penantian indahnya rindu
Cinta itu indah cinta mendamaikan
Jikalau datangnya kerinduan
Bertasbihlah... bersujudlah

Kenikmatan cinta bergabung padu
Antara yang Esa juga yang baru
Inilah Cinta Agung bersulam restu

Pabila cinta itu hadir
Ia tidak berlebih
Tidak mendahului yang Esa
Ianya suci
Ianya terpelihara
Dengan restu-Nya

Pabila cinta itu bertasbih.

cc: muslimah hiasan dunia a.k.a hawa

Friday 9 March 2012

~ UKHUWAH SEJATI


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Di usia yang sebegini, kadang-kadang terfikir siapakah teman yang benar-benar layak dipanggil sahabat. Tentu anda sedia maklum bahawa definisi sahabat itu lebih bernilai dan bermakna daripada kawan atau teman. Sahabat itu sukar dicari apatah lagi yang soleh atau solehah. 

Saiyidina Umar Al-Khattab mengatakan bahawa "Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki sahabat yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh." 

Namun usah dicari yang soleh atau solehah, mulai dengan diri sendiri menjadi soleh dan solehah, insyaAllah pasti Allah SWT akan menemukan kita dengan sahabat sebegini. Alhamdulillah, di dalam hati ini, saya tahu siapakah teman yang benar-benar layak dijadikan sahabat. Syukur Ya Allah, atas nikmat dan anugerah-Mu ini.

Nasihat Muawwiyah Ibnu Sofyan pula "Meski yang menghubungkan ku dengan engkau (sahabatku) hanya sehelai benang, akan selalu aku jaga. Jika diulurkan akan aku kencangkan. Jika dia kencangkan akan aku kendurkan. Hingga benang itu tidak pernah putus." 

Saya juga ingin berbuat demikian pada teman yang bernama sahabat. Semoga ikatan ukhuwah ini takkan terputus dan kekal hingga ke syurga. Aamiin ya Rabb. 


Ada wasiat tentang persahabatan yang boleh kita contohi. Seorang alim bernama Alqamah telah berwasiat kepada anaknya. Antara wasiatnya ialah:

"Apabila tercetus di hatimu berkawan dengan seseorang, pastikan engkau berkhidmat dengannya, dia boleh mengawal dirimu."

"Andainya kamu bersahabat dengannya dia boleh menghias dirimu, sekiranya pada suatu ketika kamu kekurangan belanja dia boleh berbelanja untuk kamu."

"Bersahabatlah sekiranya kamu hulur satu kebaikan lalu orang itu pun berbuat demikian, apabila melihat kebaikan daripadamu lantas dikutipnya dan dihimpun kerana menghargainya."

"Apabila melihat keburukanmu lantas ditutupnya, bersahabat rapatlah kamu kepada orang yang jika kamu meminta sesuatu (nasihat atau apa sahaja) lantas dia memberimu segera."

"Apabila kamu berdiam diri tidak meminta sesuatu darinya, dia menunjukkan rasa resah gelisah. Sekiranya bala menimpamu, dia merasa simpati dan bertimbang rasa."

"Bersahabatlah apabila kamu berkata sesuatu, dia mengiyakan sahaja. Sebarang perkara usaha sungguh-sungguh yang kamu hendak lakukan, dia segera memberi sokongan. Dia segera mengalah ketika berbalah denganmu."

Demikianlah wasiat Alqamah kepada anaknya mengenai sahabat yang sangat tinggi nilainya terutama bagi melaksanakan amal kebajikan dalam gerak kerja Islam.

Tingkat persaudaraan yang paling rendah ialah berlapang dada, manakala tingkat persaudaraan yang paling tinggi ialah 'ithar' iaitu mementingkan sahabat-sahabatnya lebih daripada dirinya sendiri.

Bercerita tentang 'ithar' tentu anda pernah dengar tentang hebatnya ukhuwah para sahabat. Ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat, datang seorang musafir dan mengadu pada Rasulullah.

"Ya Rasulullah, aku sangat lapar dan penat."

Maka Rasulullah s.a.w. pulang bertanya kepada isteri-isteri baginda, namun hampa, tiada makanan di rumah Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah bertanya pada sahabat.

"Siapakah di antara kamu mahu memberi makan kepada sahabat ini, moga-moga Allah merahmatinya?"

Maka bangun Abu Thalhah menyahut Rasulullah s.a.w., walaupun dia miskin. Sampai di rumah, maka bertanya Abu Thalhah kepada isterinya, Ummu Sulaim.

"Adakah makanan di dapur untuk saudara kita ini?" 
Maka jawab Ummu Sulaim, 
"Ada, tetapi cukup-cukup untuk anak-anak."
"Tidurkanlah anak kita, tutupkan lampu dan berilah makanan kepada musafir tersebut. Kita berlapar malam ini."

Subhanallah! Begitu hebat itsar sahabat walaupun dengan orang yang langsung tidak dikenalinya! Jawapan agung Abu Thalhah inilah yang akhirnya menyebabkan beliau menjadi insan yang luar biasa.

Keesokan hari Rasulullah s.a.w. berjumpa dengan Abu Thalhah, beliau bersabda, "Sungguh Allah sangat gembira (tersenyum) menyaksikan perbuatan anda berdua."

Maka, kita lihat kembali diri kita, menilai semula persahabatan hebat yang kita miliki. Sama-sama kita ambil iktibar daripada kisah sahabat ini. (^_^)

Friday 2 March 2012

~ CHOCOLATE GANACHE


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saya terbaca cara-cara membuat chocolate ganache daripada blog Hairul Hissam. Memang menarik artikel yang ditulisnya. Sebelum ini jika saya membuat chocolate ganache, saya menggunakan resepi di bawah:

Chocolate Ganache 
(biasanya saya guna untuk topping Kek Coklat Moist)

250g coklat masakan
135ml whipping cream
10g butter

1. Cairkan coklat masakan menggunakan kaedah 'double boiler'.
2. Masak whipping cream hingga mendidih. Masukkan ke dalam coklat masakan dan pukul hingga pekat.
3. Masukkan butter dan kacau hingga sebati.


Coklat Ganache utk Topping Kek Coklat Moist

Resepi ini pula chocolate ganache daripada blog Hairul.com. Terima kasih En. Hairul Hissam. Izinkan saya berkongsi resepi di sini.

Chocolate Ganache 

1kg coklat masakan atau dark chocolate
100g butter
600ml whipping cream

1. Hiris atau potong kecil-kecil coklat masakan tersebut agar mudah dicairkan nanti. Manakala butter sekiranya baru keluar daripada peti sejuk, potong ia menjadi lebih kecil. Namun lebih baik dibiarkan butter cair/lembut dengan sendirinya di luar peti sejuk sebelum digunakan.
2. Masukkan 600ml whipping cream ke dalam periuk, hidupkan api dengan api yang sederhana. Masak hingga mendidih. Jangan ke mana-mana kerana ia cepat mendidih. Cecair whipping cream boleh membuak-buak sehingga keluar dari periuk jika lambat tutup apinya.
3. Setelah api dimatikan, tuang kesemua 1000g coklat masakan yang dihiris atau dipotong tadi ke dalam periuk yang berisi cecair whipping cream yang telah dimasak. Seterusnya, kacau sehingga kesemua coklat masakan cair. Anda boleh gunakan sudu. Namun lebih baik atau lebih halus jika kacau menggunakan whisk.
4. Setelah coklatnya cair, masukkan 100g butter dan kacau menggunakan sudu atau whisk. Kacau sehingga butter cair dan sebati. Inilah coklat ganache yang dihasilkan dengan cara yang mudah.

~ Selamat Mencuba (^_^)