Sunday, 25 March 2012
~ REWARD YOUR SELF
سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sebenarnya saya tidak berniat untuk meng'update' entri pada malam ini. Namun setelah membaca sebuah cerpen di laman penulisan2u karya Rehan Makhtar yang berjudul 'Ku Ingin Milikimu' telah mengubah fikiran saya. Walaupun cerpen tersebut biasa sahaja jalan ceritanya namun telah menyentuh hati saya. Seperti selalu airmata pasti mengalir kerana bait-bait perkataan yang diungkapkan dalam cerpen ini begitu menyentuh rasa. Terasa diri ini bersalah kepada-Nya kerana hanya sebuah cerita khayalan daripada penulis boleh menyebabkan airmata ini mengalir. Sedangkan airmata ini selayaknya mengalir bagi mengenang dosa-dosa yang dilakukan setiap hari sepanjang kehidupan ini.
Inilah salah satu cara untuk saya mengaplikasikan apa yang saya pelajari dalam kursus OUMH1103 Learning Skills For Open Distance Learners. Dalam modul ini mengatakan bahawa kita perlu me'reward' diri sendiri dan banyak contoh yang diberi. Salah satu caranya adalah melalui pembacaan sama ada buku, novel, majalah, cerpen dan bahan bacaan yang lain. Namun sebagai seorang muslim tentu saya sedia maklum bahawa ayat-ayat cinta Allah sebaik-baik kalam yang perlu dibaca setiap hari. Saya bermohon agar Allah SWT sentiasa tetapkan hati ini untuk terus istiqamah dalam mengerjakannya setiap hari terutamanya apabila selesai solat.
Saya pernah terlepas pandang perkara ini kerana dek kesibukan bekerja, tiada penghargaan yang diberi untuk diri sendiri. Alhamdulillah, setelah mengamalkan apa yang dipelajari dapat membantu saya mendidik hati untuk sentiasa redha dan sentiasa bersyukur dengan setiap kejadian yang berlaku. Semoga Allah sentiasa membesarkan hati ini agar dapat saya mengendalikan diri dan hati dalam mengharungi kehidupan di dunia yang sementara ini.
Seperti selalu hasil karya Rehan Makthar pasti tidak menghampakan dan jalan ceritanya pastilah bercorak sedih. Saya terkesan dengan watak Anahara Rahman atau Ann Rahana dalam cerpen ini dan ini mengingatkan saya pada watak Raihana dalam novel 'Gemersik Kalbu' karya Anis Ayuni. Drama Gemersik Kalbu juga diadaptasikan dari novel ini dan akan ditayangkan di Slot Akasia TV3. Cerita-cerita yang diadaptasikan daripada novel ini jarang sekali saya menontonnya kecuali Filem 'Ayat-ayat Cinta' dan ' Ombak Rindu'. Namun saya lebih suka menghayati melalui pembacaan berbanding menonton kerana 'feel' nya lebih terasa.
Ramai yang mengatakan bahawa cerita-cerita sebegini adalah cerita cinta yang menjadikan pembaca bersikap 'jiwang'. Namun pada saya, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada cerita-cerita ini terutamanya sebagai motivasi dalaman yang perlu ada pada seseorang yang ingin berjaya dan berlapang dada dengan setiap perkara yang diuji. Semuanya terpulang kepada pemahaman masing-masing. Kadang kala cerita yang dipaparkan menyentuh kisah ketuhanan yang sangat tinggi yang pasti dapat meningkatkan lagi keimanan kita sebagai hamba-Nya.
Selain itu, saya juga sedang menghabiskan bacaan 'Tuhan...Terimalah Aku' oleh Dato' Hj. Md Daud Che' Ngah. Beliau adalah mantan Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji. Antara bait-bait yang terkandung dalam buku ini yang sangat menarik hati saya..."Biar jahil ilmu di dada biar banyak khilaf digalas biar uzur tubuh menahan namun, salam-Mu tetap kusambut rumah-Mu tetap kan kujejak kerna cinta dan rindu ini hanya untuk-Mu Ya ALLAH..." Aamiin Ya Rabb.
Di samping itu juga, saya adalah peminat buku-buku Dr. HM Tuah Tuah Iskandar al-Haj. Banyak buku-buku motivasi beliau dalam koleksi saya. Dan setelah agak lama mengikuti buku-buku beliau barulah saya tahu bahawa HM itu adalah singkatan nama ibu beliau Hajjah Mariam. Begitu besar penghargaan beliau pada bonda tercinta sehingga mengabdikan nama bonda tercinta dalam setiap hasil karyanya. Yang terbaru juga masih dalam pembacaan saya ialah buku 'Jaga Jangan Kantoi'. Penulisan beliau yang sangat santai berserta motivasi daripada pengalaman beliau sendiri menjadikan setiap cerita dalam karya beliau tidak jemu untuk dibaca.
Akhir kata, selamat bersantai dengan bahan bacaan sama ada bahan ilmiah atau sebaliknya. Tepuk dada tanya hati....^_^
Labels:
Motivasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment