Friday, 9 March 2012
~ UKHUWAH SEJATI
سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Di usia yang sebegini, kadang-kadang terfikir siapakah teman yang benar-benar layak dipanggil sahabat. Tentu anda sedia maklum bahawa definisi sahabat itu lebih bernilai dan bermakna daripada kawan atau teman. Sahabat itu sukar dicari apatah lagi yang soleh atau solehah.
Saiyidina Umar Al-Khattab mengatakan bahawa "Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki sahabat yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh."
Namun usah dicari yang soleh atau solehah, mulai dengan diri sendiri menjadi soleh dan solehah, insyaAllah pasti Allah SWT akan menemukan kita dengan sahabat sebegini. Alhamdulillah, di dalam hati ini, saya tahu siapakah teman yang benar-benar layak dijadikan sahabat. Syukur Ya Allah, atas nikmat dan anugerah-Mu ini.
Nasihat Muawwiyah Ibnu Sofyan pula "Meski yang menghubungkan ku dengan engkau (sahabatku) hanya sehelai benang, akan selalu aku jaga. Jika diulurkan akan aku kencangkan. Jika dia kencangkan akan aku kendurkan. Hingga benang itu tidak pernah putus."
Saya juga ingin berbuat demikian pada teman yang bernama sahabat. Semoga ikatan ukhuwah ini takkan terputus dan kekal hingga ke syurga. Aamiin ya Rabb.
Ada wasiat tentang persahabatan yang boleh kita contohi. Seorang alim bernama Alqamah telah berwasiat kepada anaknya. Antara wasiatnya ialah:
"Apabila tercetus di hatimu berkawan dengan seseorang, pastikan engkau berkhidmat dengannya, dia boleh mengawal dirimu."
"Andainya kamu bersahabat dengannya dia boleh menghias dirimu, sekiranya pada suatu ketika kamu kekurangan belanja dia boleh berbelanja untuk kamu."
"Bersahabatlah sekiranya kamu hulur satu kebaikan lalu orang itu pun berbuat demikian, apabila melihat kebaikan daripadamu lantas dikutipnya dan dihimpun kerana menghargainya."
"Apabila melihat keburukanmu lantas ditutupnya, bersahabat rapatlah kamu kepada orang yang jika kamu meminta sesuatu (nasihat atau apa sahaja) lantas dia memberimu segera."
"Apabila kamu berdiam diri tidak meminta sesuatu darinya, dia menunjukkan rasa resah gelisah. Sekiranya bala menimpamu, dia merasa simpati dan bertimbang rasa."
"Bersahabatlah apabila kamu berkata sesuatu, dia mengiyakan sahaja. Sebarang perkara usaha sungguh-sungguh yang kamu hendak lakukan, dia segera memberi sokongan. Dia segera mengalah ketika berbalah denganmu."
Demikianlah wasiat Alqamah kepada anaknya mengenai sahabat yang sangat tinggi nilainya terutama bagi melaksanakan amal kebajikan dalam gerak kerja Islam.
Tingkat persaudaraan yang paling rendah ialah berlapang dada, manakala tingkat persaudaraan yang paling tinggi ialah 'ithar' iaitu mementingkan sahabat-sahabatnya lebih daripada dirinya sendiri.
Bercerita tentang 'ithar' tentu anda pernah dengar tentang hebatnya ukhuwah para sahabat. Ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat, datang seorang musafir dan mengadu pada Rasulullah.
"Ya Rasulullah, aku sangat lapar dan penat."
Maka Rasulullah s.a.w. pulang bertanya kepada isteri-isteri baginda, namun hampa, tiada makanan di rumah Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah bertanya pada sahabat.
"Siapakah di antara kamu mahu memberi makan kepada sahabat ini, moga-moga Allah merahmatinya?"
Maka bangun Abu Thalhah menyahut Rasulullah s.a.w., walaupun dia miskin. Sampai di rumah, maka bertanya Abu Thalhah kepada isterinya, Ummu Sulaim.
"Adakah makanan di dapur untuk saudara kita ini?"
Maka jawab Ummu Sulaim,
"Ada, tetapi cukup-cukup untuk anak-anak."
"Tidurkanlah anak kita, tutupkan lampu dan berilah makanan kepada musafir tersebut. Kita berlapar malam ini."
Subhanallah! Begitu hebat itsar sahabat walaupun dengan orang yang langsung tidak dikenalinya! Jawapan agung Abu Thalhah inilah yang akhirnya menyebabkan beliau menjadi insan yang luar biasa.
Keesokan hari Rasulullah s.a.w. berjumpa dengan Abu Thalhah, beliau bersabda, "Sungguh Allah sangat gembira (tersenyum) menyaksikan perbuatan anda berdua."
Maka, kita lihat kembali diri kita, menilai semula persahabatan hebat yang kita miliki. Sama-sama kita ambil iktibar daripada kisah sahabat ini. (^_^)
Labels:
Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment