Saturday, 24 March 2012
~ KAMPUNG DEW FIRE FLIES
سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Malam tadi (24 Mac 2012) buat kali pertama saya dan keluarga ke Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew. Cuma anakanda Muhammad Athif Irfan tidak hadir kerana berada di asrama dan diganti dengan seorang anak saudara iaitu Nur Aiman. Aktiviti ini telah dirancang pada tahun lalu oleh Kelab Guru dan Kakitangan SKAP namun pada tahun ini kami dapat melaksanakannya.
Ramai juga anggota keluarga SKAP yang menghadiri aktiviti ini. Bayaran untuk perjalanan menaiki bot adalah RM30 seorang. Oleh sebab, NYDP SKAP iaitu En. Mohd Noor b Salleh yang menjadi Pengerusi bagi Kelib-kelip Cahaya Alam Perak (KECAP) maka kami cuma diminta membuat separuh bayaran sahaja. Alhamdulillah, ribuan terima kasih buat En. Mohd Nor dan kakitangan KECAP.
Perjalanan menaiki bot tersebut mengambil masa lebih kurang satu jam pergi dan balik. Sepanjang perjalanan kiri dan kanan kelihatan begitu banyak kelip-kelip di pokok berembang. Subhanallah...sungguh indah ciptaan Allah SWT. Pemandangan tersebut serupa pokok krismas pula rasanya. Pemandangan bertambah cantik kerana biasan cahaya daripada kelip-kelip itu terkena permukaan air. Begitu meriah suasana di sepanjang sungai tersebut.
Namun keindahan ciptaan Allah ini hanya boleh dilihat dengan pancaindera pemberian-Nya sahaja. Sebelum bertolak kami telah dimaklumkan oleh En. Mohd Nor bahawa amat sukar untuk mengambil gambar kelip-kelip ini. Kebetulan, malam sebelumnya pihak TV3 telah datang untuk membuat rakaman dan hanya beberapa keping sahaja gambar yang menjadi. Itupun dengan menggunakan kamera yang canggih.
Beberapa kali saya cuba mengambil gambar kelip-kelip ini namun hampa. Yang kelihatan hanya warna hitam sahaja. Satu gambar pun tidak menjadi dan telah dipadam oleh anak. Akhirnya, saya hanya mengambil gambar anak-anak dan rakan-rakan di atas bot.
Dalam perjalanan balik pula saya boleh terlelap beberapa minit kerana suasana yang sungguh nyaman dengan udara malam yang tenang. Tambahan pula, sudah hampir seminggu selesema saya belum sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun memang sungguh menarik aktiviti pada malam itu dan pengalaman ini hanya tersimpan di kotak memori selagi diizinkan oleh Allah SWT. Masih tergambar bayangan kelib-kelib yang menyerupai pokok krismas di malam hari. Subhanallah...teramat indah. Tidak tergambar dengan kata-kata.
Lantas, saya teringat kelip-kelip di kampung sewaktu kecil dahulu. Rupanya saya dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa kelip-kelip di kampung itu lebih besar berbanding di Hutan Paya Bakau ini dan ianya juga dikenali dengan nama kunang-kunang. Kelip-kelip Hutan Paya bakau ini pula hanya sebesar sebutir beras sahaja. Namun cahaya yang dikeluarkan daripada badannya sangat terang.
Begitulah hebatnya ciptaan Allah SWT.
Labels:
Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment