~ Kisah Pemuda dan Rama-rama ~
Pemuda itu menoleh ke arah orang tua tersebut dan berkata, "Saya letih, pak cik. Telah jauh saya berjalan untuk mencari kebahagiaan, namun tidak juga saya temukan rasa itu dalam diri saya. Saya telah berjalan merentasi gunung dan lembah, tetapi masih tiada penanda kebahagiaan yang hadir dalam diri saya. Ke manakah harus saya mencarinya? Bilakah akan saya temukan rasa itu?".
Orang tua itu lantas menjawab, “Di depan sana ada sebuah taman. Jika kamu ingin jawapan daripada pertanyaanmu, tangkaplah seekor rama-rama untukku. Tangkaplah ia dengan tanganmu”.
Pemuda itu bangkit perlahan-lahan menuju ke arah taman yang dimaksudkan. Di taman itu bersemarak dengan pohon dan bunga-bunga mekar dan banyak sekali rama-rama berterbangan di sana-sini. Pemuda itu terhendap-hendap perlahan cuba menangkap seekor rama-rama. Namun gagal. Dikejar-kejar pula rama-rama itu, cuba menangkap lagi, tapi masih gagal. Dia mula berlari tidak keruan. Kakinya menerjah ke sana-sini. Rumput-rumput dipijaknya dan tanaman dirempuhnya untuk mengejar rama-rama itu. Aksinya nampak semakin agresif dan liar.
Si pemuda mula keletihan, namun seekor rama-rama pun belum berjaya ditangkapnya. Nafasnya mencungap, dadanya bergerak naik-turun dengan cepat. Orang tua tersebut bergerak menghampiri anak muda itu. Tetapi pemuda itu kehairanan kerana melihat sekumpulan rama-rama berkeliling dan sesekali hinggap di tubuh orang tua tersebut.
Orang tua tersebut bertanya, "Begitukah cara kamu mengejar kebahagiaan? Berlari dan mengejar? Menerjah tak tentu arah, memijak tanpa pedulikan apa yang kau rosakkan?". Orang tua itu menatap si pemuda, “Anakku, mencari kebahagiaan itu adalah seperti menangkap rama-rama. Semakin kau kejar, semakin ia menjauhimu. Semakin kau buru semakin pula ia menjauh dari dirimu."
Kisah pemuda dan rama-rama tadi menceritakan tentang sebuah kebahagiaan yang kita cari dan damba dalam hidup. Pelbagai cara kita lakukan untuk mendapat kebahagiaan. Tetapi hakikatnya, kebahagiaan itu bukanlah sesuatu yang dapat disentuh, digenggam atau disimpan. Tetapi ia adalah sebuah perasaan damai serta gembira dari hati.
No comments:
Post a Comment