Blogger Templates

Thursday, 20 June 2013

~ KEBAHAGIAAN ITU BERADA DI DALAM HATI KITA


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركات

 ~ Kisah Pemuda dan Rama-rama ~


Pada suatu hari, kelihatan seorang pemuda sedang termenung memandang ke arah telaga di hadapan rumahnya. Sedang dia asyik termenung, kelihatan seorang tua datang menyapa. “Kamu sedang buat apa di sini wahai anak muda?”. “Apakah yang sedang kau risaukan?”.

Pemuda itu menoleh ke arah orang tua tersebut dan berkata, "Saya letih, pak cik. Telah jauh saya berjalan untuk men
cari kebahagiaan, namun tidak juga saya temukan rasa itu dalam diri saya. Saya telah berjalan merentasi gunung dan lembah, tetapi masih tiada penanda kebahagiaan yang hadir dalam diri saya. Ke manakah harus saya mencarinya? Bilakah akan saya temukan rasa itu?".

Orang tua itu lantas menjawab, “Di depan sana ada sebuah taman. Jika kamu ingin jawapan daripada pertanyaanmu, tangkaplah seekor rama-rama untukku. Tangkaplah ia dengan tanganmu”.

Pemuda itu bangkit perlahan-lahan menuju ke arah taman yang dimaksudkan. Di taman itu bersemarak dengan pohon dan bunga-bunga mekar dan banyak sekali rama-rama berterbangan di sana-sini. Pemuda itu terhendap-hendap perlahan cuba menangkap seekor rama-rama. Namun gagal. Dikejar-kejar pula rama-rama itu, cuba menangkap lagi, tapi masih gagal. Dia mula berlari tidak keruan. Kakinya menerjah ke sana-sini. Rumput-rumput dipijaknya dan tanaman dirempuhnya untuk mengejar rama-rama itu. Aksinya nampak semakin agresif dan liar.

Si pemuda mula keletihan, namun seekor rama-rama pun belum berjaya ditangkapnya. Nafasnya mencungap, dadanya bergerak naik-turun dengan cepat. Orang tua tersebut bergerak menghampiri anak muda itu. Tetapi pemuda itu kehairanan kerana melihat sekumpulan rama-rama berkeliling dan sesekali hinggap di tubuh orang tua tersebut.

Orang tua tersebut bertanya, "Begitukah cara kamu mengejar kebahagiaan? Berlari dan mengejar? Menerjah tak tentu arah, memijak tanpa pedulikan apa yang kau rosakkan?". Orang tua itu menatap si pemuda, “Anakku, mencari kebahagiaan itu adalah seperti menangkap rama-rama. Semakin kau kejar, semakin ia menjauhimu. Semakin kau buru semakin pula ia menjauh dari dirimu."

Kisah pemuda dan rama-rama tadi menceritakan tentang sebuah kebahagiaan yang kita cari dan damba dalam hidup. Pelbagai cara kita lakukan untuk mendapat kebahagiaan. Tetapi hakikatnya, kebahagiaan itu bukanlah sesuatu yang dapat disentuh, digenggam atau disimpan. Tetapi ia adalah sebuah perasaan damai serta gembira dari hati. 


Sesungguhnya kebahagiaan itu tidak pernah lari dari kita, tetapi ia berada dekat dalam diri kita. Oleh itu, carilah kebahagiaan itu kerana ia berada dalam hati kita.


kredit: Maria Eisya Khadija

Thursday, 13 June 2013

~ SURAH AL-KAHFI


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Salam Jumaat yang mulia...

“Barangsiapa yang membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.”  - Hadis Riwayat An Nasa’i dan Baihaqi.




Tuesday, 4 June 2013

~ SUSU IBU


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah, hari ini sudah 42 hari usia Afif. Kali ini saya hendak menyusukan Afif dengan susu ibu sepenuhnya. Sepatutnya saya perlu membuat rujukan mengenai penyusuan ibu lebih awal. Namun kekangan masa dan keputusan menyusukan Afif secara eksklusif baru dibuat semasa dalam pantang, masih belum terlambat untuk saya google bagi mendapatkan ilmu. 

Pertama sekali saya perlu membeli breast pump. Walaupun banyak jenama di pasaran, saya memilih jenama Medela. Namun atas cadangan jurujual, saya membeli Portable Electric Breast Pump yang kebetulan ada potongan harga iaitu RM179.00. 

sumber: google

Syukur Alhamdulillah rezeki Allah untuk Afif, pertama kali perahan dapat 30 oz. Memang saya dapati susu agak berkurangan selepas sebulan berpantang. Jadi, saya mula menggoogle lagi untuk mengetahui cara-cara meningkatkan susu badan. Di samping itu juga, saya juga perlu mengetahui cara penyimpanan susu ibu. Terima kasih kepada blog mommyiskandar.com atas pengkongsian ilmu. Izinkan saya menulis di sini pula untuk rujukan saya sendiri. 

sumber: mommyiskandar.com

Secara ringkasnya, gambar di atas menunjukkan jika anda menyimpan susu di:

  • Peti sejuk bahagian bawah - susu tahan 3-5 hari bergantung pada suhu peti ais tersebut
  • Peti sejuk bahagian atas / sejuk beku - susu tahan 3 bulan
  • Deep Freezer - susu tahan 6 bulan
  • Pada suhu bilik - susu tahan 4 jam
  • Cooler Bag / Box - susu tahan 12-24 jam.
Cara Menyahsejukbeku Susu:
  • Jika anda nak gunakan susu yang telah dibekukan esok hari, turunkan susu tersebut ke peti sejuk bawah pada sebelah malamnya
  • Bila bayi nak minum, rendamkan susu tersebut dalam air panas suam (tidak terlalu panas kerana ia akan merosakkan nutrien dan antibodi yang terdapat di dalam susu)
  • Goyangkan susu tersebut secara perlahan untuk memberi suhu sekata pada susu dan rasa dahulu suhu susu sebelum memberikan terus pada bayi
  • Jika bayi anda dijaga oleh pengasuh, seeloknya sediakan 'warmer' bagi memudahkan pengasuh memanaskan susu anda.

Panduan asas penyimpanan susu ibu:
  • bekas penyimpanan susu hendaklah dibasuh dengan bersih menggunakan sabun, dibilas dengan air didih dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan
  • catatkan tarikh perahan pada bekas susu sebelum menyimpannya
  • simpan susu dalam kuantiti mencukupi untuk 1 kali penyusuan untuk 1 bekas, contohnya 2 - 4oz sahaja setiap bekas
  • jangan penuhkan bekas sehingga ke penutupnya, tinggalkan sedikit ruang untuk membolehkan pengembangan berlaku apabila susu dibekukan
  • susu yang hendak dibekukan sebaiknya hendaklah disimpan dibahagian sejuk terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke bahagian beku peti sejuk
  • jangan simpan susu perahan di bahagian pintu peti sejuk kerana suhu di bahagian pintu tidak stabil (kerana kekerapan membuka dan menutup pintu peti sejuk)
  • sebaiknya simpan susu perahan di bahagian paling atas dan paling dalam kerana suhunya lebih stabil dan malar
  • jika menggunakan bekas penyejuk (cooler bag) pastikan ice pack yang digunakan mencukupi, ganti jika perlu dan kurangkan kekerapan membuka bekas penyejuk
Info Tambahan Bagi Ibu Bekerjaya:
  1. Susu yang diperah dipejabat boleh disimpan di dalam peti sejuk di pejabat (jika ada) dan dibawa balik menggunakan cooler bag yang berisi ice pack yang mencukupi untuk perjalanan pulang ke rumah (walaupun perjalanan ke rumah hanya 10 minit, pastikan susu perahan kekal sejuk). Sampai di rumah bolehlah pindahkan ke peti sejuk di rumah sama ada hendak diletakkan di bahagian bawah (sejuk biasa atau di bahagian atas (freezer). Tidak digalakkan membekukan susu semasa dipejabat kerana susu beku lebih sukar diuruskan (kerana kita perlu memastikan ia dibawa balik dalam keadaan beku dan tidak boleh mencair walaupun sedikit).
  2. Jika susu beku sudah mencair (walaupun sedikit), susu tersebut tidak boleh lagi dibekukan semula. Ia perlu disimpan di bahagian bawah (bhg sejuk biasa) malah perlu dihabiskan (digunakan) dalam tempoh 24 jam dari masa ia mula mencair.
  3. Susu perahan lebih baik disimpan dibahagian sejuk biasa berbanding bahagian beku (freezer) jika susu perahan itu adalah stok untuk beberapa hari. Sekiranya pada hari ke-5 perahan tersebut belum digunakan maka bolehlah naikkannya ke bahagian beku untuk memanjangkan tempoh hayatnya
  4. Susu perahan yang dibekukan akan kehilangan beberapa nutrien dan antibodi akibat proses pembekuan namun komposisinya masih JAUH LEBIH BAIK berbanding susu formula. Oleh itu, ibu perlu memberi susu segar (secara direct feeding). susu perahan yang disejukkan dan susu perahan yang dibekukan untuk mengimbangi keperluan nutrien dan antibodi bayi.
  5. Susu perahan yang telah dipanaskan, diberikan kepada bayi tetapi tidak habis diminum, boleh disimpan susu tersebut ke dalam peti sejuk semula untuk penyusuan berikutnya (anggaran masa tidak lebih dari 2 jam). Jika pada penyusuan kedua tidak juga dhabiskan maka susu tersebut perlu dibuang.

Alhamdulillah atas pengkongsian ilmu ini. Seterusnya, saya perlu mengepam lebih kerap dan minum banyak air serta makan makanan yang dapat menambahkan susu. Saya juga perlu menyediakan lebih banyak lagi bekas menyimpan susu dan apabila saya telah mula bekerja, Afif dijaga di rumah pengasuh maka perlulah saya menyediakan warmer untuk memudahkan susu dipanaskan oleh pengasuh. In Shaa Allah, mudah2an ada rezeki Afif. Tak lupa juga cooler bag dan ice pack untuk membantu saya mengepam susu di sekolah nanti. 

"Ya Allah, murahkan rezeki kami ya Allah." Aamiin Allahumma Aamin.