Blogger Templates

Wednesday, 29 February 2012

~ BACAAN AL-FATIHAH YANG BETUL


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Mari sama-sama kita menyemak dan memperbetulkan bacaan Al-Fatihah terutamanya ketika menunaikan solat lima waktu. 



Jazakallahu khairan Ustaz Don Daniyal...

Tuesday, 28 February 2012

~ JASAMU DIKENANG


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana masih diberi peluang untuk menghirup udaranya di dunia ini. Agak lama saya tidak bercerita tentang hobi ini iaitu tentang kek. Hari ini persaraan guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah hubby. Sempena persaraan beliau, saya mendapat tempahan untuk membuat dua biji kek di hari ini. Walaupun saya menolak kerana hasil kerja (deco kek) saya masih kurang cantik tapi permintaan daripada pihak sekolah suami tidak dapat dielak. 

Setelah berfikir saya pun merancang untuk membuat kek tersebut dengan tema warna ungu. Pada mulanya saya bercadang untuk membuat kek buttercream tetapi hubby meminta saya membuat kek yang dibawa pada hari lahirnya ke sekolah iaitu Coklat Butterscoth Cheese Cake. Puas berfikir inilah hasilnya gabungan warna ungu kegemaran saya. 

Selamat Bersara buat Pn. Hajjah Suprah bt Mohammad


Jasamu Dikenang...

Masih banyak kelemahan saya dalam bidang mendeco kek ini yang perlu saya pelajari lagi. Namun, syukur kerana Allah SWT masih memberi saya ilham untuk menghasilkannya walaupun saya belum mempelajari dari mana-mana guru untuk mendeco kek ini hanya dengan melihat adik dan gambar-gambar sahaja. InsyaAllah, semoga nanti saya berpeluang dan mempunyai masa untuk mengikuti kelas mendeco kek ini. 


Cenderama untuk dibawa pulang...


Sekalung Budi Semurni Kasih...

Kek ini pula sebagai memenuhi permintaan untuk diberi sebagai buah tangan kepada Pn. Hajjah Suprah. Oleh sebab kek yang dibuat menjadi tinggi, bekas untuk mengisinya tidak muat menyebabkan hubby perlu ke bakery untuk membeli kotak kek. Banyak pengajaran yang saya dapat ketika menghasilkan kek-kek ini dan yang paling penting selepas ini saya akan menggunakan kotak untuk mengisi kek-kek yang ditempah agar tidak lagi berlaku pembaziran. 

~ SELAMAT BERSARA BUAT PN. HAJJAH SUPRAH. SEMOGA ALLAH MEMBERKATI KEHIDUPAN DAN SEGALA USAHA YANG AKAN DILAKSANANKAN KELAK.




Thursday, 23 February 2012

~ TERSENYUMLAH WAHAI HATI YANG BERSEDIH


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya setelah ada kesulitan ada kemudahan. Sungguh setelah kesulitan itu ada kemudahan." (Al-Insyirah: 5-6)



Kita tidak akan sesekali dapat menjangka,
Apa yang Allah aturkan buat kita,
Adakala kita tersangat gembira,
Adakala kita tersangat tidak suka,
Aturan-Nya bukan pilihan kita.

Namun,
Jangan risau manusia,
Allah itu tuhan kita,
Tuhan yang Maha Luas kasih sayangnya.

Percayalah,
Dia tidak akan menduga hamba-Nya,
Kecuali untuk melihat hamba-Nya,
tersenyum di sana,
tertawa di sana,
Di syurga yang mengalir di bawahnya,  
sungai-sungai yang mendamaikan jiwa.

Oh indahnya! 

cc: mohamednaqib




Tuesday, 21 February 2012

~ HATI YANG INGIN BERBICARA


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Apabila berbicara tentang hati tentulah sukar untuk memiliki hati yang bersih dan tenang. Namun kita tahu hati itu akan bersih dan tenang dengan hanya mengingati Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah  hati menjadi tenteram". (al-Ra`d:28)


Bagaimana jika kita pernah merasakan tiada semangat dan tidak mempunyai keyakinan untuk meneruskan kehidupan ini. Sebenarnya, untuk memulakan kehidupan yang bersemangat dan penuh keyakinan hanya perlu dengan membersihkan dan menjernihkan hati. Muhasabah hati kita kerana hati adalah kekuatan kehidupan. Tanpa hati kita semua adalah mati. 

Hati adalah salah satu nikmat dan anugerah pemberian Allah SWT kepada kita. Oleh itu, kita perlu selalu menyemak dan menilai hati kita. Asalnya hati ini bersih namun jika kita melakukan satu dosa, maka akan terbentuklah satu titik hitam di hati kita. Jika kita bertaubat, maka akan terhapuslah titik hitam itu. Namun jika sebaliknya, maka akan bertambahlah titik-titik hitam tersebut sehinggalah ianya menjadi kaku, keras dan terus mati. 

Hati inilah yang akan kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Bayangkan hati kita ini dan sanggupkah kita untuk menghadapinya kerana hati ini yang akan berbicara di hadapan Allah SWT tentang soal amal dan niat yang terjadi di sepanjang sejarah kehidupan di dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Pada hari akhirat kelak, anak-anak tidak dapat memberikan apa-apa pertolongan, kecuali mereka yang datang dengan hati yang suci bersih.” (Surah as-Syu’ara 26 : 88-89)

Antara amalan yang paling baik untuk membersihkan diri ialah bangun awal di pagi hari dan melakukan solat sunat Tahajud di saat insan lain diulit mimpi indah. "Ya Allah, bantulah hamba-Mu yang lemah ini untuk terus istiqamah dalam mengerjakannya".


 Tahniah kepada orang yang memiliki hati 
yang sebersih air yang jernih, 
hati yang tenang setenang kabut tebal, 
hati yang dermawan sedermawan air hujan yang jatuh.

Meranalah kepada orang yang memiliki hati 
yang berdosa dan gersang segersang padang pasir, 
hati yang keras sekeras batu, 
tidak ada embun, tidak ada kesuburan dan tidak ada air.

Waspadalah terhadap seksaan hati anda
 terhadap diri anda sendiri.
Janganlah dilancarkan 'perang'
terhadap HATI anda sendiri!

Sumber: 
~ langitilahi.com
~ badandakwahsmktunjb.blogspot.com

Monday, 20 February 2012

~ KALIMAH ALLAH


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Pernahkah anda melihat kalimah Allah dengan pancaindera mata sendiri. Selalunya kita biasa melihat gambar-gambar  tersebut hanya di internet. Hanya insan-insan yang terpilih sahaja biasa melihat fenomena ini seperti di langit, kulit ikan, dahan pokok, pada buah-buahan, di angkasa dan sebagainya lagi. 







sumber gambar: pakcik google :)

Gambar-gambar di atas semuanya boleh didapati di internet. Namun hari ini saya berasa sungguh terharu dengan kebesaran Allah SWT. Seorang rakan guru di sekolah tempat saya bertugas mempunyai kalimah Allah pada anggota tubuh badannya. Hal ini baru disedarinya semalam (Ahad, 19 Februari 2012). Oleh kerana tempat di mana kalimah Allah itu timbul agak sulit, jadi saya meminta untuk melihat gambarnya. 

Subhanallah, apabila melihat gambar tersebut memang sangat jelas kelihatan sehingga saya tanpa segan silu meminta untuk melihatnya dengan mata sendiri. InsyaAllah, mungkin jika ada peluang dia akan menunjukkannya pada saat kami menunaikan solat di surau sekolah. 

Begitulah besarnya kekuasaan Allah. Dia memperlihatkannya di merata-rata di sekeliling kita supaya kita mengambil peringatan cuma kita sahaja yang tidak mempedulikannya. Firman Allah yang bermaksud:

"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al-Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?" [QS. Al- Fushshilat]

Subhanallah, Walhamdulillah, Wala ilaha ilallah Allahu Akbar.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.




Sunday, 19 February 2012

~ BAWA HATIMU KEPADA TUHAN


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Cinta itu bermula dari hati. Andai hati itu ikhlas, cinta yang terzahir akan terbina dengan penuh kasih sayang dan ketulusan. Untuk membina cinta itu, hati perlu disemai dan dibaja dengan benih mahmudah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan akhirat.

"Kini usiaku menjengah empat puluhan. Semua cepat dan pantas sekali tanpa ada penangguhan. Bermakna seruan ke arah kematian semakin bergema kedengaran walaupun syaitan dan nafsu berhempas-pulas cuba melengah-lengahkan. 

Bagi masyarakat barat, takah usia ini adalah 'permulaan' hidup sebenar bagi seseorang insan. Akan tetapi dari kaca mata Islam, umur 40-an adalah umur penentu sama ada mahu terus beriltizam dan beristiqamah di atas jalan hidayah ataupun terus-menerus leka meranduk kesesatan hingga tidak nampak lagi jalan pulang..."  
( ~ Amaluddin Mohd Napiah)


~ BILA RINDU


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Apabila mendapat berita daripada ayahanda, bonda dan adik-adik di Pahang, hati terlalu rindu untuk pulang ke rumah. Namun cuti hujung minggu tentu rasa hati ini tidak dapat dipenuhi. Hanya panggilan telefon dan gambar-gambar kiriman adik-adik mengubat rasa rindu ini.

Kadang kala pernah terfikir untuk berpindah menetap bersama ayahanda, bonda dan adik-adik di sana. Namun semua itu tidak semudah yang disangka. Banyak tanggung jawab di sini yang masih menanti. Biarlah kerana kata orang tua, 'Apabila berjauhan berbau wangi...'


sebelum diubah suai...bagaimana agaknya yang baru ni??

Kemarin hati berasa gembira kerana ketika hati berasa kehilangan seorang sahabat, tiba-tiba dia muncul kembali. Alhamdulillah, walau terasa bersalah tetapi ikatan silaturahim ini moga tetap akan berpanjangan. Semoga Allah s.w.t. sentiasa merahmati dirinya dan mempermudahkan segala urusannya di sana serta memberi ketabahan dalam menjalani rutin hidupnya seharian. 

Tengah hari tadi juga telah menerima panggilan telefon daripada bekas anak didik yang kini berada di MRSM Kepala Batas (Ulul Albab) Pulau Pinang. Alhamdulillah, dia telah dapat menghafaz 14 muka surat ayat-ayat suci Al-Quran. Semoga Allah menerangi hatinya agar mudah untuk mengingati ayat-ayat suci dan mempermudahkan juga urusannya dalam pembelajaran. 

Oleh itu, hanya ucapan terima kasih atas ingatan mereka. Semoga Allah s.w.t. sentiasa merahmati ikatan ukhuwah yang telah dibina.


Friday, 17 February 2012

~ BLOGGING


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana dalam dua hari ini banyak ilmu tentang dunia blogging yang saya dapat. Bermula dengan 'meremove' (ade ke perkataan tu dalam kamus dewan?) shoutbox yang sudah expired hinggalah menambah lagi accessories pada blog ini. Terima kasih kepada unwanted86.blogspot.com kerana berkongsi ilmu yang bermanfaat terutamanya tentang blogging tips dan blog tutorial.

Walau bagaimanapun masih banyak yang belum saya apply. Contohnya pengiklanan dengan ketiga-tiga medium Nuffnang, Adverlets dan Adsense. Jika anda ingin mengetahuinya boleh klik pada nama blog di atas. Setakat ini saya menulis blog hanya sekadar ingin mencuba dan menambah ilmu serta ikut mood sahaja.




Tuesday, 14 February 2012

~ USAH BERSEDIH...SENYUMLAH


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Duhai diri,
Andai berlaku perkara yang menyedihkan hati,
Jangan bersedih,
Biarkan ia berlalu...
Kerana nanti kesedihan itu akan memberi kesakitan pada dirimu,
Andai itu terjadi,
Diri dan keluargamu yang menanggungnya,
Insan lain hanya sekadar melihat dan melahirkan simpati,
Tabahkan hati dan teruslah mengadu hanya pada-Nya.
Serahkan hatimu biar Dia yang mengubati lukamu,
Sedalam mana luka itu,
Pasti akan terubat kerana Dia yang menerbitkan semua rasa itu,
Lapangkan hatimu dan tenanglah serta senyumlah...




~ Muhasabah Cintaku...


Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Kupasrahkan semua pada-Mu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu



Monday, 13 February 2012

~ BIARKAN IA BERLALU...


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini menyebabkan hati jadi tidak menentu. Hanya Allah tempat mengadu walau kadang kala terasa betapa lemahnya iman dengan sedikit ujian yang diberi-Nya.

Pernah suatu pagi, saya berasa ingin bercuti membawa diri ke suatu tempat yang tiada siapa mengenali diri ini. Terkadang teringat tawaran kenalan suami yang menawarkan pakej umrah hanya RM3000. Jika ikutkan hati ingin segera ke rumah Allah yang sangat-sangat ingin dikunjungi. Malangnya, banyak persediaan yang tidak sempat dibuat juga memikirkan anak-anak yang tiada tempat untuk ditumpangkan buat sementara. InsyaAllah, semoga impian mengerjakan umrah sekeluarga pada tahun hadapan menjadi kenyataan. "Ya Allah, kabulkan permintaan hamba-Mu ini. Aku terlalu ingin ke rumah-Mu sebelum mata ini tertutup rapat". 




Rupanya hati yang tidak tenang itu seakan-akan memberi isyarat akan berlakunya peristiwa menyedihkan hati. Bak kata pepatah 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". 

Ya Allah, ampunkan aku kiranya selama ini, aku terlalu lebih mengingati perkara-perkara lain melebihi daripada mengingati-Mu. Ampunkan hamba-Mu yang lemah ini. Bantulah aku untuk melepaskan segalanya dan biarkan ianya berlalu pergi...

Monday, 6 February 2012

~ PERIBADI RASULULLAH SAW


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Setiap kali membaca kisah Rasulullah s.a.w pasti bergenang air mata ini. Betapa hati terasa sangat merindui untuk bertemu dengan kekasih Allah ini. Semoga di sana nanti, saya dan anda semua menjadi sebahagian daripada umatnya yang mendapat syafaat Nabi Muhammad s.a.w. kelak. Peringatan untuk diri ini agar sentiasa memperbanyakkan selawat ke atas baginda s.a.w. 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
للَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

Mari ikuti kisah peribadi mulia Rasulullah s.a.w. sebagai teladan dalam menjalani kehidupan ini.
Pernah pada suatu pagi Baginda SAW pulang ke rumah dengan lapar sekali. Tetapi dilihatnya tiada makanan untuk dibuat sarapan. Makanan yang mentah pun belum ada kerana Sayidatina Aisyah r.a. belum lagi ke pasar.
Lalu Baginda bertanya “Belum ada sarapan Ya Humaira?”. Humaira adalah panggilan manja untuk Sayidatina Aisyah yang bermaksud wahai yang kemerah-merahan.
Sayidatina Aisyah menjawab dengan serba salah “Belum ada apa-apa Ya Rasulullah”. Mendengar jawapan Sayidatina Aisyah, Baginda pun berkata “Jika begitu aku berpuasa hari ini” tanpa sedikitpun tergambar perasaan kesal di wajah Baginda. 
Sebaliknya, Baginda sangat marah sekiranya melihat seorang suami mengkasari isterinya. Perrnah diceritakan pada suatu hari Baginda melihat seorang suami memukul isterinya. Baginda lalu bertanya “Mengapa engkau memukul isterimu?”.
Soalan itu dijawab oleh si suami dengan gementar “Isteriku seorang yang keras kepala, walaupun telah diberikan nasihat tetapi dia masih berdegil, jadi aku pukul dia”. Sahut Baginda “Aku tidak bertanya alasanmu, tetapi menanyakan kenapa engkau sanggup memukul teman tidurmu, dan ibu kepada anak-anakmu”.
Pernah Baginda bersabda “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya”. Sebenarnya sikap Baginda yang prihatin, sabar dan tawadhuk di dalam menjadi ketua keluarga, langsung tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.
Pernah pada suatu ketika, Baginda mengimamkan solat, dilihat oleh para sahabat pergerakan Baginda dari satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Malah mereka mendengar bunyi menggerutup, seolah-seolah bunyi sendi Baginda Rasulullah sedang bergesel di antara satu sama lain. 
Setelah selesai sembahyang, Sayidina Umar yang tidak tahan melihat Baginda lalu ditanya “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan hamba sedang menanggung penderitaan yang amat berat, adakah tuan hamba sedang sakit?”.
Lalu baginda menjawab “Tidak Umar, Alhamdulillah aku sihat dan segar”. Umar yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut terus bertanya “Kalau tuan hamba sihat, kenapa setiap kali menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi tuan hamba sedang bergeselan”.
Akhirnya, Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terperanjat. Perut Baginda yang kempis kelihatan dililiti sehelai kain yang mengandungi batu-batu kerikil bagi menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menerbitkan bunyi setiap kali Baginda menggerakkan tubuhnya. 
Para sahabat yang tadinya terperanjat terus bertanya, “Ya Rasulullah, adakah tuan hamba fikir bila menyatakan lapar dan tiada makanan, maka kami tidak akan membawamu”.
Lalu baginda menjawab dengan lembut “Tidak para sahabatku, aku tahu apapun akan kamu korbankan untuk Rasulmu, tetapi apakah yang akan aku jawab di hadapan Allah nanti kerana aku sebagai seorang pemimpin menjadi beban kepada umatnya”. 
Baginda menambah “Biarlah kelaparan ini menjadi hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tiada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak”. Sebab itulah Baginda tidak pernah merasa malu walaupun makan di sebelah seorang tua yang miskin, kotor dan dipenuhi dengan kudis.
Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri baginda menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari Allah langsung tidak dijadikan alasan untuk merasa lebih daripada orang lain di depan orang ramai, mahupun ketika bersendirian.
Subhanallah...


Sunday, 5 February 2012

~ LAW KANA BAINANA


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sebelum ini saya sudah pernah terbaca kisah ini tetapi post yang dibuat oleh Heliza Helmi di laman FB menyentuh hati tambahan pula pada hari maulid nabi. 


Suatu hari... Nabi Muhammad SAW bertanya :

"Siapakah hamba Allah yang mulia?"

Sahabat menjawab : 
"Para malaikat Ya Rasulullah"

Sahabat yang lain :
"tentulah para nabi, merekalah yang mulia"

Nabi tersenyum lalu berkata :
"Ya, mereka mulia, tetapi ada yang lebih mulia"

Para sahabat terdiam lalu berkata :
"Adakah kami yang mulia itu Ya Rasulullah"

Nabi berkata :
"Tentulah kalian mulia, kalian dekat denganku, tapi bukan kalian yang aku maksudkan"

Nabi menundukkan wajahnya, baginda menitiskan airmata sehingga membasahi pipi dan janggutnya, lalu berkata :

"Wahai sahabatku, mereka adalah manusia-manusia yang lahir jauh setelah wafatnya aku, mereka terlalu mencintai Allah & tahukah kalian, mereka tidak pernah melihatku, mereka tidak dekat denganku seperti kalian, mereka sangat rindu kepadaku dan saksikanlah wahai sahabatku bahawa AKU SANGAT RINDU PADA MEREKA... MEREKALAH UMMATKU! UMMATI! UMMATI! UMMATI!"-

Begitulah rasa rindu dan cintanya baginda Nabi Muhammad s.a.w. kepada umatnya. Saya, anda dan kita semua bagaimana...???

Allahumma solia'la saiyidina Muhammad waa'la ali wasahbihi wabaarik wasallim.

Allahumma solia'la saiyidina Muhammad waa'la ali wasahbihi wabaarik wasallim.
Allahumma solia'la saiyidina Muhammad waa'la ali wasahbihi wabaarik wasallim.


Saturday, 4 February 2012

~ MAULIDUR RASUL


سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Selamat Menyambut Hari Maulidur Rasul 1433H. Sempena hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas baginda. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya". (Surah Al-Ahzab:56)

Di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. terdapat banyak arahan dan kelebihan-kelebihan yang dinyatakan berkenaan dengan selawat ke atas baginda s.a.w. antaranya:

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsesiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah s.w.t. akan berselawat ke atasnya sepuluh kali". 
(Hadith Riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ass r.a)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku". 
(Hadith Riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas'ud r.a)


Marilah berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. 


صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi
صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ ع...َلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi


يَا نَبِيْ سَلاَمٌ عَلَيْكَ Wahai Nabi salam atasmu
يَا رَسُوْل سَلاَمٌ عَلَيْكَ Wahai Rasul, salam atasmu
يَا حَبِيْبُ سَلاَمٌ عَلَيْكَ Wahai kekasih, salam atasmu
صَلَوَاتُ الله عَلَيْكَ Selawat Allah ke atasmu


أَشْرَقَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا Bulan purnama menyinari kita
فَاخْتَفَتْ مِنْهُ الْبُدُوْرُ Hilang segala cahaya
مِثْلَ حُسْنِكَ مَا رَأَيْنَا Indah menawan tak pernah dilihat
قَطُّ يَا وَجْهَ السُّرُوْرِ Wajah gembira sepanjang hayat


أَنْتَ شَمْسٌ أَنْتَ بَدْرٌ Kaulah matahari, kaulah bulan
أَنْتَ نُوْرٌ فَوْقَ نُوْرٍ Kaulah cahaya mengatasi cahaya
أَنْتَ إِكْسِيْرٌ وَغَالِي Kaulah rahsia hidup mulia
أَنْتَ مِصْبَاحُ الصُّدُوْرِ Kaulah menyuluhi jiwa


يَا حَبِيْبِيْ يَا مُحَمَّد Wahai kekasihku, ya Muhammad
يَا عَرُوْسَ الْخَافِقَيْنِ Wahai pendamping indah sejagat
يَا مُؤَيَّدُ يَا مُمَجَّدُ Wahai Nabi dijulang dipuja
يَا إِمَامَ الْقِبْلَتَيْنِ Wahai imam 2 kiblat


مَنْ رَأَى وَجْهَكَ يَسْعَد Bahagialah orang memandang wajahmu
يَا كَرِيْمَ الْوَالِدَيْنِ Wahai penghulu keturunan mulia
حَوْضُكَ الصَّافِى الْمُبَرَّد Kolam airmu sejuk jernih
وِرْدُنَا يَوْمَ النُّشُوْرِ Kunjungi kami pada hari akhirat


مَا رَأَيْنَا الْعِيْسَ حَنَّتْ Sepanjang malam unta berjalan
بِالسُّرَى إِلاَّ إِلَيْكَ Tiada berhenti rindukanmu
وَالْغَمَامَةْ قَدْ اَظَلَّتْ Engkau dipayungi awan putih
وَالْمَلاَ صَلُّوْا عَلَيْكَ Dan Malaikat sama berselawat


عَالِمُ السِّرِّ وَأَخْفَى Allah mengetahui rahsia sulit
مُسْتَجِيْبُ الدَّعَوَاتِ Dialah menyahut semua seruan
رَبِّ إرْحَمْنَا جَمِيْعًا Wahai Tuhan Rahmatilah kami
بِجَمِيْعِ الصَّالِحَاتِ Dengan segala amalan soleh


وَصَلاَةُ الله عَلَى أَحْمَد Selawat Allah ke atas Muhammad
عَدَّ تَحْرِيْرِ السُّطُوْرِ Sebanyak baris kertas ditulis
أَحْمَدُ الْهَادِي مُحَمَّد Ahmad Muhammad petunjuk jalan
صَاحِبُ الْوَجْهِ الْمُنِيْرِ Empunya wajah berseri menawan


صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi
صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد Selawat Allah ke atas Muhammad
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Selawat salam dipohon lagi


اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَيْهِ Wahai Tuhan, selawat dan salam dan keberkatan atasnya